Ahad, 30 September 2012

Dr AK: JOHAN META-STATES - Siri 03

Turus Ali Khan melihat ke arah skrin rata visualator, namun mindanya berputar ligat menginggatkan perbincangan dengan anak sulungnya, Jusa Serrefina yang sama bekerja di Institut Meta-State Engineering (IMSE), Menara Gading Gadjah Muda (MGGM). Dia perlu membuat keputusan sama ada hendak dibawa ke pihak atasan atau menolak saja cadangan anaknya di peringkat Institut lagi.

"Boleh Jusa Serrefina berikan alasan mengapa IMSE perlu menerima manusia biasa belajar di menara gading ini?" tanya Turus Ali kepada anaknya yang singgah di bilik selepas mengajar Johan terbang. Dari dalam bilik, Turus Ali dapat melihat Johan yang sedang duduk berehat, menunggu anaknya melalui cermin satu hala.

"Seperti yang Turus Ali tahu, saya adalah cendikiawan Law of Meta-Attraction. Semalam saya menerima satu daya fisikal dari alam manusia. Melalui kajian literasi, belum pernah daya fisikal dilancarkan dari alam manusia ke alam kita. Ianya bukan hanya gelombang positif seperti yang kita tahu dari Law of Meta-Attraction tetapi gelombang itu datang bersama dengan daya yang boleh dirasai. Ini bermakna kita boleh mengerakkan apa yang kita bayangkan! Dan bayangkan kepentingannya jika kita tahu struktur bagaimana ia dilakukan. Saya perlu mengkaji manusia di luar sana untuk melonjakkan ilmu Law of Meta-Attraction ke tahap yang lebih tinggi dan sudah tentunya melonjakkan juga penerbitan IMSE." jawab Puteri Serrefina, sengaja menegaskan perkataan "penerbitan" kerana tahu akan kelemahan Kepala IMSE yang sangat peka dengan perkataan itu.

"Boleh Jusa Serrefina terangkan apa yang berlaku semalam? Dan apakah kaitannya dengan manusia di luar sana? Bagaimana dia boleh datang ke sini?" tanya Turus Ali, cuba memahami perkara yang berlaku semalam.

Puteri Serrefina rasa terperangkap, berfikir dan membuat keputusan untuk memberitahu ayahnya, bukan sebagai Kepala IMSE. "Ayah! Semalam saya terima satu tamparan yang kuat di pipi kiri dari daya yang datang dari alam manusia. Manusia di luar sanalah yang melakukan visioning dan tamparan itu berlaku semasa visioning yang dilakukannya. Saya perlukan dia untuk mengkaji struktur bagaimana dia melakukannya. Dia juga sudah setuju untuk tinggal di alam kita dan belajar di menara gading ini. Dia anak yatim piatu, hidup di alam manusia keseorangan, sentiasa dihina dan diperolok-olokkan oleh kaumnya, kesian pada dia, Ayah!" beritahu Puteri Serrefina untuk menarik simpati ayahnya.

Turus Ali bangun, mematikan pendingin udara dan menolak suis cahaya kerana tidak mahu menggunakan kemudahan di tempat kerja untuk urusan keluarga, kemudian berkata "Anakku, sudahkah kau fikir masak-masak? Kehadiran manusia di sini untuk jangkamasa yang panjang tentu akan mengganggu kehidupan di alam manusia kerana jasadnya masih di sana."

Puteri Serrefina berfikir sejenak, kemudian berkata "Sudah Ayah! Pembelajaran di sini cuma tiga tahun sahaja. Masa di alam ghaib ke-tujuh lebih cepat dari masa di alam manusia. Cuma tiga minggu di alam manusia! lagipun saya sudah arahkan ketujuh puteri di bawah seliaan saya untuk memaklumkan Penghulu Bunian di alam ghaib yang pertama. Tugasan itu sudah dilaksanakan oleh mereka. Tok Syeikh berjanggut putih juga telah mengarahkan Pawang Hitam, dukun di kampung pemuda ini untuk menjaga jasad yang ditinggalkan." kata Puteri Serrefina dengan penuh yakin.

"Baiklah! cuba ceritakan pada Ayah apa sebenarnya yang telah berlaku semalam", kata Turus Ali, akur dengan kesungguhan anak sulungnya itu. Puteri Serrefina menceritakan dari mula hingga akhir apa yang telah terjadi, dari atas pohon kelapa hinggalah Johan berada di luar bilik.

Johan yang sedang menunggu masih menyelami apa yang dikatakan oleh Puteri Serrefina sebelum masuk ke dalam bilik Kepala Meta-State Engineering. Kata-kata Puteri Serrefina masih terngiang-ngiang dalam mindanya. "Kami tidak membezakan para cendikiawan, pangkat yang ada cuma Turus untuk lelaki dan Jusa untuk wanita. Mereka adalah "guru" dan yang lainnya adalah "murid". Nabi akhir zaman tidak membezakan para ilmuan, yang utama ialah "mengajar" dan "belajar". Dua-duanya mulia pada pandangan Tuhan. Yang membezakan mereka ialah iman. Keimanan tidak boleh diukur dengan ketinggian ilmu atau jumlah penerbitan yang dilakukan". 


Bersambung... <<Siri 04>> Dr AK

Tiada ulasan:

Catat Ulasan