Saturday, January 12, 2013

Dr AK: "Ek Praat Nie Afrikaans Nie"



11 Jan. 2013. Buka laci lama untuk mencari memory card, tiba-tiba terjumpa gambar ini. Minda saya travel menerusi masa/jarak dengan pantas menuju Cape Town lebih 10 tahun yang lalu. Inilah my little angel berusia 6 tahun dalam Grade 1, SAMA Primary School. Setahun kami berdua di sana sementara Selendang Sari menyiapkan pengajiannya di UKM. Masih segar dalam ingatan saya; membangun dan memandikannya di waktu pagi, menyediakan sarapan dan memasak makanan untuk bekal tengahari, menghantarnya ke sekolah sebelum meneruskan perjalanan ke University of Cape Town.

Kami berdua tinggal dengan keluarga Melayu Cape, sebumbung tetapi berlainan pintu, jadi adalah orang yang tolong tengokkannya bila balik dari sekolah. Dialah anak dan dialah juga emak atau mungkin nenek kepada saya kerana kepetahannya bercakap, bercerita, memberi pendapat, merajuk, mengarah dan menegur saya. Dari tidak tahu berbahasa Inggeris sehinggalah lebih mahir dari saya. Semasa Grade 4 dia sudah mewakili sekolah untuk "Spelling Contest" bersama dengan pelajar Grade 6.

Ada satu ketika, semasa saya membaca buku pada lewat malam, dia terbangun dari tidur dan lari memeluk saya sambil menangis. Saya tanya "Mengapa menangis?". Dia jawab "Mimpi abah mati dibunuh perompak". Sambil memeluk, saya berfikir panjang. Apa yang akan dilakukannya? gadis berumur 6 tahun, seorang diri, berada 6,000 batu jauh dari keluarga jika apa-apa berlaku kepada saya. Saya dapat rasakan kerisauan dalam linangan air matanya. Alhamdulillah, kami berdua selamat di bawah jagaanNya. Sebulan sebelum pulang ke Malaysia, kami membilang hari dengan membuat tanda di kalendar.

Saya pasti, dia kini membilang hari. Tidak lama lagi Pondok Modern Darussalam Gontor akan bercuti. Tidak sabar rasanya untuk mendengar celoteh seorang tukang cerita yang tidak pernah membuatkan saya jemu dengan ceritanya. Kalau di meja makan, tangan saya jadi kering dengan nasi mendengar ceritanya yang padat dengan VAK. Bila saya teringatkan Cape Town, saya suruh dia bercakap Inggeris berslangkan Afrikaans mengajuk iklan-iklan kelakar yang pernah kami dengar melalui siaran radio 786 dan Voice of the Cape. "Ek praat nie Afrikaans nie."

Walaupun tidak jumpa memory card kerana terlupa tempat letak, saya guna apa yang ada untuk merakam gambar setelah diminta oleh Selendang Sari untuk majlis Persaraan Pengetua sekolahnya.   

Hidup ini adalah perjalanan yang boleh jadi mudah atau boleh jadi sukar. Kita yang membuat pilihan. Apa jua pilihan kita, tiada yang salah atau benar. Tempuhilah dengan bersangka baik; kepada Allah, kepada rakan, kepada masyarakat dan sekitaran. Mulakan dengan bertanya diri "Jika tiada kegagalan, apakah langkah pertama yang akan aku lakukan?" dan mulalah melangkah ke hadapan.









No comments:

Post a Comment